Pada kurun ke-8 Hijrah iaitu ketika zaman Bani
Abbasiah, orang Islam ketika itu sedang berdakwah di Samarkand (ibu Negara
Uzbekistan). Pada waktu itu, tentera Islam telah berjaya membuka negara-negara
yang bersempadan dengan Samarkand yang berhampiran dengan China.
Suatu
ketika, mereka tidak dapat menembusi sebuah benteng. Tentera-tentera musuh
berdiri di sepanjang pintu dan dinding kota. Tiada siapa boleh keluar dan
masuk. Mereka bagaikan sebuah dinding yang tidak dapat dirobohkan. Akibatnya,
peperangan berlanjutan. Tiada siapa yang kalah atau menang.
Maka,
panglima perang Islam melalukan ‘post-mortem’. Perkara pertama yang ditanya
ialah, “Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang tidak menunaikan solat?”
Mereka
menjawab, “Tidak.”
“Adakah
sesiapa yang meninggalkan satu daripada sunnah Nabi SAW?” soalnya lagi.
Mereka
terdiam. Setelah berfikir dan bertanya sesama sendiri, barulah mereka sedar
bahawa mereka meninggalkan amalan bersiwak ketika berwuduk dan solat. Lantas,
mereka memanjat pokok kurma dan mengambil batangnya untuk dibuat kayu sugi. Setelah
itu, azan dilaungkan. Maka, mereka pun segera bersiwak sebelum berwuduk untuk
menunaikan solat.
Tatkala
itu, seorang pengintip masuk ke khemah orang Islam untuk mengintip. Dia menjadi
gementar melihat orang Islam sedang bersiwak. Lalu. Dia pun pulang memberitahu
kaumnya, “Sesungguhnya musuh kita bukan sembarangan manusia. Mereka sedang
mengasah gigi mereka dengan kayu untuk meratah kita seorang demi seorang. Bersedialah
kamu semua untuk diratah oleh mereka.”
Kaumnya
percaya. Mereka menjadi gerun lalu mengundurkan diri. Maka, orang Islam berjaya
menawan negeri itu dengan mudah dan ramai yang memeluk Islam. Penduduk kota
itu, setelah memeluk Islam, menjadikan siwak sebagai satu amalan yang tidak
ditinggalkan. Mereka ketawa mengenangkan ketakutan mereka kepada siwak. Mereka
berkata, “Kami dikurniakan Islam dengan berkat sunnah bersiwak. Maka,
hidupkanlah kami ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan sentiasa melazimi
sunnah.”
Sumber: Qasas as-Solihin, Syeikh Hamed Ahmad Tahir
Iktibar:
- Dalam sunnah Nabi, ada kejayaan.
- Amal sunnah Nabi, Allah beri bantuan.
- Tinggalkan sunnah Nabi, tiada bantuan daripada Allah.