Selasa, 28 Ogos 2012

LELAKI INI LEBIH BAIK DARI KESEMUA MEREKA



Sayyidina Sahal bin Saad Saidi ra berkata bahawa seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi saw lalu baginda saw bertanya pada seorang sahabat yang duduk disisi baginda saw ''Apakah pandangan kamu tentang lelaki ini''? Jawab sahabat itu'' Lelaki ini adalah dari seorang yang mulia kalau dia meminang maka selayaknya pinangannya di terima. Sekiranya dia menyokong sesiapa maka sepatutnya sokongannya di terima.'' Baginda saw hanya berdiam diri.


Kemudian lalu pula seorang lelaki lain lalu baginda saw bertanya''? Apa pula pendapat kamu tentang lelaki ini'' Sahabat itu menjawab,'' Lelaki ini hanya salah seorang dari orang-orang yang miskin dari kalangan orang islam dan memang patut kalau dia meminang pinangannya tidak di terima, jika dia memberi sokongan , sokongannya tidak diterima , jika dia berkata sesuatu, kata-katanya tidak akan di dengari.''


Lalu Rasulullah saw pun bersabda , '' Sekiranya seluruh dunia ini dipenuhi oleh orang yang sama seperti lelaki pertama , Lelaki ini masih lebih baik dari kesemua mereka.'' (BUKHARI)


Khamis, 16 Ogos 2012

PENGHUNI SYURGA AKAN DATANG PADAMU

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan, kami sedang duduk bersama Rasulullah saw apabila baginda saw bersabda: Seorang penghuni syurga akan datang padamu sekarang. Tidak lama kemudian seorang Ansar datang, dari janggutnya berjatuhan titisan-titisan air wudhu dan dia memegang kasutnya dengan tangan kirinya. Pada hari yang kedua Rasulullah saw mengulangi perkataannya. Sekali lagi orang Ansar yang sama datang dalam keadaan yang sama yang mana dia datang pada hari yang pertama. Pada hari yang ketiga Rasulullah saw mengulangi perkataan yang sama dan sahabat itu datang lagi dalam keadaan yang sama.

Apabila Rasulullah saw pergi, Abdullah bin Amr r.huma mengikuti orang Ansar itu kerumahnya dan berkata kepadanya; Aku telah bertengkar dengan ayahku dan telah bersumpah bahawa aku tidak akan kembali kepadanya selama tiga hari? Dia berkata; baik sekali.

Anas ra meriwayatkan; Abdullah ra menceritakan bahawa dia tinggal selama tiga malam dengan sahabat Ansar itu, tetapi dia tidak melihatnya beribadah pada malam hari, kecuali apabila dia terbangun dan mengubah kedudukan tidurnya diatas tempat tidur dia memuji Allah dan berkata: Allahu Akbar, sehingga dia bangun untuk solah subuh dari tempat tidurnya. Ada satu perkara lagi bahawa aku tidak pernah mendengar sesuatu yang keluar dari mlutnya kecuali yang baik sahaja

Apabila tiga malam berlalu dan aku mengira amalan-amalan biasa sahaja (aku hairan bagaimana Rasulullah saw memberinya satu khabar gembira yang besar) dia berkata kepada Ansar itu; Hai hamba Allah, tidak ada pertengkaran antara aku dan ayahku atau tidak ada perselisihan, akan tetapi aku telah mendengar Rasulullah saw mengatakan tiga kali tentang engkau, bahawa seorang penghuni syurga sedang datang kepada kita dan engkau datang kepada kami pada tiga waktu itu.

Aku berfikir, aku akan tinggal denganmu dan melihat amalan yang istimewa yang engkau kerjakan supaya aku dapat mengamalkannya. Meskipun demikian, aku tidak melihat engkau melakukan amalan yang istimewa. Apa yang telah menaikkan engkau kepada darjat yang Rasulullah saw nyatakan tentangmu? Orang Ansar itu menjawab; Amalan-amalan yang engkau lihat adalah biasa (aku tidak memiliki amalan yang istimewa). Abdullah ra berkata; Mendengarkan jawapan itu aku pun pergi. Apabila aku hendak pergi orang Ansar itu memanggil aku kembali dan berkata; Engkau telah melihat amalan ku , tetapi ada satu hal sebagai tambahan, aku tidak mempunyai perasaan buruk dalam hatiku   tentang seseorang muslim. Aku tidak irihati jika Allah menganugerahkan kepada orang lain sesuatu nikmat istimewa.

Abdullah ra berkata; Inilah amalan yang tidak dapat kami lakukan. (HR Musnad Ahmad dan Majma uz Zawaid)

Khamis, 9 Ogos 2012

KISAH IMAN AHMAD DAN PENJUAL ROTI


Suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal mahu menghabiskan malamnya di masjid, akan tetapi beliau dihalang oleh pengawal masjid. Sudah puas beliau mencuba namun tetap tidak berjaya.

Imam Ahmad pun berkata: “Saya akan tidur di tempat saya berdiri ini.” Dan beliau benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya. Namun, pengawal itu tetap berusaha menarik beliau menjauhi masjid.

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.”
Imam bertanya: “Apakah doa itu?”
Pembuat roti pun berkata: “Aku mahu melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”
Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

p/s : SubhanALLAH inilah salah satu kelebihan istighfar,untungnya dpt jumpa ulama' yang hebat.