Ahad, 14 April 2013

KISAH MALIK BIN DINAR RAH DAN PEMUDA MAHLIGAI

Jaafar bin Sulaiman rah berkata ''Satu ketika semasa berjalan di Basrah bersama Hadrat Malik bin Dinar rah kami melihat satu mahligai yang besar sedang dalam pembinaan. Seseorang pemuda sambil duduk memberi arahan kepada pekerja-pekerjanya. Hadrat Malik bin Dinar rah berkata kepada saya,'' Lihatlah betapa kacak pemuda ini! Tetapi dia sedang terlibat dalam urusan tidak berguna. Aku rasa terdesak untuk berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan pemuda ini dari urusan sia-sia ini dan menjadikan hambanya yang mukhlis. Alangkah baiknya jika ia menjadi salah seorang dari pemuda-pemuda di syurga! Mari kita jumpa pemuda itu.'' Jaafar rah berkata bahawa mereka berdua telah pergi kepada pemuda itu lalu mengucap salam kepadanya. Pemuda itu menjawab salam kami. Dia mengetahui tentang Hadrat Malik bin Dinar rah, tetapi ketika itu beliau masih belum mengenalinya. Selepas beberapa lama apabila datang dia dapat mengenalinya maka dengan serta merta dia berdiri lalu berkata,'' Sila duduk. Bagaimana tuan datang kemari? Betapa tuahnya kami kedatangan tuan!'' Malik bin Dinar rah berkata,'' Berapakah yang kamu berlanjakan untuk pembinaan ini?'' Dia menjawab,'' Seratus ribu dirham.'' Malik rah berkata,'' Wang seratus ribu dirham itu kamu berilah kepadaku, maka aku akan mengambil tangungjawab dan memberi jaminan bahawa kamu akan diberi satu mahligai yang berlipat kali ganda lebih baik dari ini dalam syurga . Khadam-khadam yang ramai, khemah dan kubah dari Yaqut merah dan nikmat-nikmat syurga yang lain-lainnya akan menjadi milik kamu. Dindingnya dari mutiara, lantainya dari Jaafran dan cantuman dindingnya dari kasturi . Mahligai itu sentiasa akan berbau harum dan tidak sekali-sekali menjadi buruk. Mahligai itu bukanlah dibina oleh tukang-tukang pembinaan tetapi ia wujud dengan perintah Allah Kun yakni jadilah'.

''Pemuda itu meminta,'' Tolonglah berikan masa kepada saya untuk memikirkan perkara itu pada malam ini. Esok pagi saya akan memberi pandangan saya.'' Hadrat Malik bin Dinar rah pulang ke rumahnya. Pada sepanjang malam itu beliau berfikir untuk pemuda itu. Ketika hujung malam beliau telah berdoa untuknya sambil menangis. Selepas solat subuh kami pergi sekali lagi kepadanya. Pemuda itu sedang menunggu kami di pintu. Dia bergembira melihat Hadrat Malik bin Dinar rah. Hadrat Malik bin Dinar bertanya,'' Apakah pendapat kamu mengenai apa yang aku cadangkan kelmarin?'' Dia bertanya, Apakah tuan bersedia untuk menyempurnakan apa yang dijanjikan oleh tuan?'' Beliau menjawab,'' Tentu tiada syak lagi,'' Maka dia membawa satu uncang berisi seratus ribu dirham dan kertas serta pena untuk di tulis.

Hadrat Malik bin Dinar rah menulis di kertas itu, bismillahhirohmannirrohim. Seterusnya beliau menulis,'' Dengan ini saya Malik bin Dinar berjanji bahawasanya si anu bin si anu akan mendapat satu mahligai bersifat begini begini ( beliau menulis semua ciri-ciri mahligai itu di syurga seperti yang beliau telah ceritakan kelmarin ). Bahkan dia akan memperolehi kedudukan perhampiran Allah Taala.'' Surat jaminan itu beliau telah serahkan kepada pemuda itu lalu mengambil uncang berisi seratus ribu dirham dan membawa pulang. Pada sebelah petang hari itu juga kesemua wang seratus ribu dirham telah habis di bahagikannya sebagai sedekah sehingga tidak ketinggalan apa-apa walaupun untuk membeli makanan.

Selepas itu telah berlalu empat puluh hari.Satu pagi Malik bin Dinar rah mengimami solat subuh di Masjid. Setelah selesai solat beliau telah melihat sepucuk kertas di mihrab. Beliau mengambil dan melihat bahawa ianya adalah surat jaminan yang telah beliau berikan kepada pemuda itu. Tetapi di atasnya ada tambahan tulisan tidak berdakwat yang terang boleh dibaca,'' Aku melepaskan Malik bin Dinar dari tangungjawab jaminan ini, sebab aku berikan si anu bin si anu satu mahligai di syurga penuh dengan semua nikmat-nikmat yang dituliskannya, bahkan tujuh puluh kali ganda lebih daripadanya.''Setelah membacanya tulisan itu beliau tersangat kagum sehingga tidak dapat bergerak atau bercakap beberapa lama. Selepas itu beliau pergi ke rumah pemuda itu. Apabila tiba , beliau mendapati ada tanda-tanda kesedihan dan juga kedengaran suara tangisan di rumah itu . Bertanya kami telah di beritahu bahawa baru kelmarin pemuda itu sudah meninggal dunia.

Malik bin Dinar rah bertanya,'' Siapakah yang telah memandikan dan mengapani mayatnya?'' Maka orang yang dimaksudkan itu telah pun dipanggil dan diminta menceritakan semua peristiwa yang berlaku. Dia berkata, ''sebelum meninggal dunia beliau telah memberi sepucuk kertas kepada saya lalu mewasiatkan agar saya meletakkan kertas itu antara kapan dan tubuh mayatnya. Saya pun telah membuat sebagaimana wasiatnya.'' Hadrat Malik bin Dinar rah telah mengeluarkan kertas yang beliau jumpai di mihrab masjid dan sebelum sempat beliau berkata apa-apa orang itu berkata, ''Wallah! Inilah kertas yang saya telah letak di dalam kapannya.'' Setelah memerhatikan kesemua peristiwa itu maka salah seorang pemuda telah mendekati Dinar bin Malik rah lalu berkata,'' Tuan Syaikh, saya hendak memberikan dua ratus ribu dirham. Tolong tuliskan satu kertas lagi untuk saya.'' Beliau berkata .'' Peluang itu telah terlepas jauh! Allah membuat apa sahaja yang di kehendakinya .'' Selepas itu bila-bila masa sahaja beliau teringat peristiwa itu, maka beliau akan menceritakan kisah itu sambil menangis dan mendoakan untuk pemuda itu. [ RAWDH]

Terdapat banyak lagi peristiwa seperti ini mengenai orang-orang warak apabila dalam keadaan semangat sesuatu perkataan terkeluar dari mulut mereka, maka Allah swt telah menjadikannya satu kenyataan begini. Baginda Rasulullah saw pernah bersabda bahawa kadangkala kelihatan setengah-setengah orang yang rambutnya tidak terurus, badan pun berdebu dihalau orang dari pintu rumah, tidak dipedulikan orang. Tetapi jika mereka bersumpah dengan nama Allah maka ia menyempurnakannya [RAWDH]
Dari buku FADHILAT SEDEKAH jilid 1 dan 2 m/s 1083

Sabtu, 6 April 2013

JANGAN AMBIL KISAH


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, "Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat hal yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu! Dua orang menaiki seekor himar, kesian himar itu disiksa."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Apalah punya pandai orang tua dan si anak itu, dah ada himar pon masih nak berjalan kaki, kenapa tak menunggang himar itu?"

Dalam perjalanan mereka dua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi FAKIR. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Semoga kisah ini dapat dijadikan pengajaran untuk menempuh kehidupan seharian.

Rabu, 14 November 2012

UNTA YANG BERKATA-KATA

UNTA BERKATA-KATA

Lelaki Muslim itu terkejut dan bingung. Unta itu adalah miliknya, tetapi dia dituduh mencurinya pula.

Sungguh licik si pemuda Yahudi itu. Dia telah membawa empat orang saksi bersama-samanya dan keempat-empat orang saksi itu membuat tuduhan palsu terhadapnya. Pemuda Muslim itu tidak dapat mempertahankan diri kerana tidak mempunyai saksi. Lalu Rasulullah SAW memutuska
n unta itu adalah milik si pemuda Yahudi dan lelaki Muslim dijatuhkan hukuman potong tangan.

Dalam keadaan bingung, pemuda Muslim itu mendongak sambil menadah tangan seraya berdoa, “Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu.”

Setelah berdoa, pemuda Muslim itu sekali lagi menemui Rasulullah SAW. Dia tidak dapat memberikan apa-apa keterangan kepada Rasulullah SAW untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah, melainkan dia meminta Rasulullah SAW bertanya sendiri kepada unta itu.

Memang sesuatu yang aneh untuk bertanyakan soalan kepada seekor binatang, tetapi oleh sebab lelaki itu bersungguh-sungguh mahu membuktikan yang dia tidak bersalah, Rasulullah SAW bertanya kepada unta itu, “Hai unta! Milik siapakah engkau ini?”

“Wahai Rasulullah! Aku adalah milik pemuda Muslim ini dan sesungguhnya para saksi lelaki Yahudi itu adalah pendusta,” jawab unta itu dengan terang dan jelas.

Rasulullah SAW kehairanan apabila mendengar pengakuan unta itu.

“Wahai pemuda Muslim! Beritahu kepadaku, apakah yang telah engkau lakukan sehingga Allah membolehkan unta ini bercakap perkara yang benar.”

“Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak tidur pada waktu malam melainkan aku terlebih dahulu membaca selawat ke atasmu sepuluh kali,” jawab pemuda Muslim itu dengan jujur.

“Engkau telah selamat daripada dihukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga daripada seksaan di akhirat nanti kerana berkatnya engkau membaca selawat untukku,” sabda Rasulullah SAW.

Dengan keputusan Rasulullah SAW, pemuda itu terlepas daripada hukuman dan bebas daripada dituduh mencuri. Dia sangat bersyukur dan yakin bahawa Allah SWT akan memberikan perlindungan kepadanya selagi dia terus melaksanakan amalan-amalan yang baik.

Kamu tidak akan mampu membalas kebaikan Nabimu Muhammad s.a.w., walaupun kamu berjalan dengan kedua-dua kelopak matamu [ al-Habib Abdullah bin Alwi al-Hadad ]

Ahad, 28 Oktober 2012

JANGAN CERITA KEBURUKAN CERITALAH KEBAIKAN

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (An-Nisaa: 148) Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa. (An-Nisaa: 149)

Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada ianya betul atau tidak adalah berdosa. Dalam Islam, tidak boleh menyebarkan keaiban orang lain walaupun mahkamah telah membuat keputusan tentang sesuatu kes. Haram menceritakan dan menyiarkannya di dalam surat khabar, walaupun disisi undang-undang dunia dibolehkan, Islam tetap mengharamkan penyebaran aib orang.

Al-Hujurat [11] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain……

Al-Hujurat [12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…

Bahkan Islam melarang seseorang melihat atau memandang ke dalam rumah orang lain sebelum diizinkan. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w bersabda:Sesiapa yang mengintip ke dalam rumah sebelum diberi izin untuk masuk ke dalam, maka sesungguhnya dia tidak meminta izin (Hadith Riwayat Abu Daud).

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah kamu bersalah jika seseorang mengintip ka dalam rumahmu tanpa izin dan kamu memukulnya mengunakan batu dan mencederai matanya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di Padang Mahsyar nanti Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka merasa malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka. Dalam satu hadith, ada disebut lebih kurang begini “kalau orang mengaibkan kamu dengan sesuatu yang tidak berasas, Allah akan mengaibkannya di Padang Mahsyar nanti, maka janganlah kamu mengaibkan seseorang walaupun ianya berasas”. 

DARI BLOG .....  nasbunnuraini.wordpress.com

Sabtu, 27 Oktober 2012

SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah termasuk sunnah iaitu seseorang keluar menghantarkan tetamunya hingga sampai ke pintu (pagar) rumahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Hantarlah dan iringilah tetamu yang pulang hingga ke pintu rumah atau pintu pagar (jika rumah berpagar) dan janganlah duduk di atas kerusi sahaja apabila mereka ingin
balik. Ini adalah peradaban yang baik dan selaras dengan Islam. Perbuatan ini menjadikan hubungan di antara tuan rumah dan tetamu itu lebih mesra.

Apa yang dimakan oleh tetamu yang datang ke rumah kita adalah haknya kerana ianya adalah rezeki mereka, cuma ianya diletakkan dalam harta kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tetamu masuk ke rumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu” (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)

Dari Abu Suraih al-Adawi bahawa dia berkata, mataku telah melihat Rasulullah saw dan telingaku telah mendengar ketika dia telah bersabda dengannya. Sabdanya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan tempohnya. Mereka berkata, apakah tempohnya? Baginda bersabda, satu hari satu malam dan tempoh bertamu adalah tiga hari dan apa yang selepas itu maka dia menjadi sedekah dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata dengan baik atau diam.

Ahad, 14 Oktober 2012

AKU TIDAK PERNAH NAMPAK MANA-MANA RAJA DI HORMATI SEPERTI MUHAMMAD SAW DIHORMATI OLEH ORANG-ORANGNYA

Dalam kisah perjanjian Hudaibiyah. Urwah b Mas'ud telah datang sebagai wakil orang kafir. Dia telah memerhatikan keadaan orang islam dengan penuh teliti. Apabila dia pulang ke Mekah dia telah menerangkan kepada orang kafir dan berkata,'' Saya pernah diutuskan untuk menemui ramai raja yang besar . Saya telah bertemu raja Parsi, Rom dan Habshah.'

Saya tidak pernah nampak mana-mana raja itu dihormati oleh orang istana sebagaimana Muhammad saw dihormati oleh orang-orangnya. Tidak pernah mereka membiarkan air ludah Baginda saw jatuh ke bumi. Air ludah itu akan jatuh ke atas tapak-tapak tangan mereka kemudian mereka menyapu air ludah itu ke muka dan seluruh badan.

Apabila Muhammad saw memerintahkan sesuatu maka setiap orang akan berlari untuk menunaikan perintah itu. Apabila Baginda saw berwuduk maka mereka akan berlari, seolah-olah akan berlaku pergaduhan dan pertengkaran antara mereka semata-mata untuk mengambil kesan air wuduk itu untuk disapu kebadan.

Apabila Baginda saw bercakap maka mereka semua akan senyap, tidak seorang pun yang akan memandang kearahnya semata-mata kerana rasa hormat terhadapnya.''

BUKHARI

Khamis, 4 Oktober 2012

SUAMI ISTERI DAN PENGEMIS


Pada suatu hari, sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumah mereka. Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk, si isteri lalu pergi membuka pintu. Ternyata ada seorang pengemis yang berdiri dimuka pintu rumahnya. Si pengemis itu meminta belas kasihannya agar dapat memberinya makanan, walaupun sedikit.

Si isteri pun meminta izin dari suaminya, "Bolehkah saya memberik

an pengemis itu sedikit makanan ?". Suaminya menjawab dengan suara yang keras, "Ah! jangan bagi dia apa-apa pun. Halau pengemis itu dan tutup pintu!!". Si isteri menurut saja tanpa membantah walaupun di dalam hatinya merasa amat sayu dan kasihan kepada pengemis itu.

Beberapa lama kemudian, perniagaan yang diusahakan oleh si suami telah jatuh merosot dengan teruk dan mereka kini hidup dalam keadaan yang miskin dan susah. Hidup mereka dikelilingi hutang dan oleh kerana selalu bertengkar, mereka pun berpisah.

Beberapa lama kemudian, si isteri ini berkahwin lagi dengan seorang saudagar. Pada suatu hari, ketika suami isteri ini sedang menikmati makanan, isterinya mendengar ada ketukan di pintu rumah mereka. Setelah pintu dibuka, ternyata tetamu yang tidak diundang itu ialah seorang pengemis yang meminta makanan.

Si isteri meminta izin kepada suaminya untuk memberi si pengemis itu makanan. Jawab suaminya, "Ya, berikanlah pengemis itu makanan, wahai isteriku". Ketika si isteri memberikan pengemis itu beberapa keping roti, alangkah terkejutnya dia bahawa si pengemis itu adalah bekas suaminya dahulu. Dia pun berlari masuk ke rumahnya sambil menangis terisak-isak. Dia pun menceritakan hal itu kepada suaminya.

Setelah mendengar cerita isterinya, si suami bertanya kepada isterinya, "Tahukah kamu siapa aku sebenarnya?". Isterinya menggelengkan kepala sambil tersedu-sedu. Sambung si suami, "Akulah pengemis yang dahulunya diusir oleh bekas suamimu".