Hantarlah dan iringilah tetamu yang pulang hingga ke pintu rumah atau pintu pagar (jika rumah berpagar) dan janganlah duduk di atas kerusi sahaja apabila mereka ingin balik. Ini adalah peradaban yang baik dan selaras dengan Islam. Perbuatan ini menjadikan hubungan di antara tuan rumah dan tetamu itu lebih mesra.
Apa yang dimakan oleh tetamu yang datang ke rumah kita adalah haknya kerana ianya adalah rezeki mereka, cuma ianya diletakkan dalam harta kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tetamu masuk ke rumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu” (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)
Dari Abu Suraih al-Adawi bahawa dia berkata, mataku telah melihat Rasulullah saw dan telingaku telah mendengar ketika dia telah bersabda dengannya. Sabdanya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan tempohnya. Mereka berkata, apakah tempohnya? Baginda bersabda, satu hari satu malam dan tempoh bertamu adalah tiga hari dan apa yang selepas itu maka dia menjadi sedekah dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata dengan baik atau diam.