Ahad, 28 Oktober 2012

JANGAN CERITA KEBURUKAN CERITALAH KEBAIKAN

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (An-Nisaa: 148) Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa. (An-Nisaa: 149)

Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada ianya betul atau tidak adalah berdosa. Dalam Islam, tidak boleh menyebarkan keaiban orang lain walaupun mahkamah telah membuat keputusan tentang sesuatu kes. Haram menceritakan dan menyiarkannya di dalam surat khabar, walaupun disisi undang-undang dunia dibolehkan, Islam tetap mengharamkan penyebaran aib orang.

Al-Hujurat [11] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain……

Al-Hujurat [12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…

Bahkan Islam melarang seseorang melihat atau memandang ke dalam rumah orang lain sebelum diizinkan. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w bersabda:Sesiapa yang mengintip ke dalam rumah sebelum diberi izin untuk masuk ke dalam, maka sesungguhnya dia tidak meminta izin (Hadith Riwayat Abu Daud).

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah kamu bersalah jika seseorang mengintip ka dalam rumahmu tanpa izin dan kamu memukulnya mengunakan batu dan mencederai matanya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di Padang Mahsyar nanti Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka merasa malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka. Dalam satu hadith, ada disebut lebih kurang begini “kalau orang mengaibkan kamu dengan sesuatu yang tidak berasas, Allah akan mengaibkannya di Padang Mahsyar nanti, maka janganlah kamu mengaibkan seseorang walaupun ianya berasas”. 

DARI BLOG .....  nasbunnuraini.wordpress.com

Sabtu, 27 Oktober 2012

SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah termasuk sunnah iaitu seseorang keluar menghantarkan tetamunya hingga sampai ke pintu (pagar) rumahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Hantarlah dan iringilah tetamu yang pulang hingga ke pintu rumah atau pintu pagar (jika rumah berpagar) dan janganlah duduk di atas kerusi sahaja apabila mereka ingin
balik. Ini adalah peradaban yang baik dan selaras dengan Islam. Perbuatan ini menjadikan hubungan di antara tuan rumah dan tetamu itu lebih mesra.

Apa yang dimakan oleh tetamu yang datang ke rumah kita adalah haknya kerana ianya adalah rezeki mereka, cuma ianya diletakkan dalam harta kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tetamu masuk ke rumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu” (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)

Dari Abu Suraih al-Adawi bahawa dia berkata, mataku telah melihat Rasulullah saw dan telingaku telah mendengar ketika dia telah bersabda dengannya. Sabdanya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan tempohnya. Mereka berkata, apakah tempohnya? Baginda bersabda, satu hari satu malam dan tempoh bertamu adalah tiga hari dan apa yang selepas itu maka dia menjadi sedekah dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata dengan baik atau diam.

Ahad, 14 Oktober 2012

AKU TIDAK PERNAH NAMPAK MANA-MANA RAJA DI HORMATI SEPERTI MUHAMMAD SAW DIHORMATI OLEH ORANG-ORANGNYA

Dalam kisah perjanjian Hudaibiyah. Urwah b Mas'ud telah datang sebagai wakil orang kafir. Dia telah memerhatikan keadaan orang islam dengan penuh teliti. Apabila dia pulang ke Mekah dia telah menerangkan kepada orang kafir dan berkata,'' Saya pernah diutuskan untuk menemui ramai raja yang besar . Saya telah bertemu raja Parsi, Rom dan Habshah.'

Saya tidak pernah nampak mana-mana raja itu dihormati oleh orang istana sebagaimana Muhammad saw dihormati oleh orang-orangnya. Tidak pernah mereka membiarkan air ludah Baginda saw jatuh ke bumi. Air ludah itu akan jatuh ke atas tapak-tapak tangan mereka kemudian mereka menyapu air ludah itu ke muka dan seluruh badan.

Apabila Muhammad saw memerintahkan sesuatu maka setiap orang akan berlari untuk menunaikan perintah itu. Apabila Baginda saw berwuduk maka mereka akan berlari, seolah-olah akan berlaku pergaduhan dan pertengkaran antara mereka semata-mata untuk mengambil kesan air wuduk itu untuk disapu kebadan.

Apabila Baginda saw bercakap maka mereka semua akan senyap, tidak seorang pun yang akan memandang kearahnya semata-mata kerana rasa hormat terhadapnya.''

BUKHARI

Khamis, 4 Oktober 2012

SUAMI ISTERI DAN PENGEMIS


Pada suatu hari, sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumah mereka. Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk, si isteri lalu pergi membuka pintu. Ternyata ada seorang pengemis yang berdiri dimuka pintu rumahnya. Si pengemis itu meminta belas kasihannya agar dapat memberinya makanan, walaupun sedikit.

Si isteri pun meminta izin dari suaminya, "Bolehkah saya memberik

an pengemis itu sedikit makanan ?". Suaminya menjawab dengan suara yang keras, "Ah! jangan bagi dia apa-apa pun. Halau pengemis itu dan tutup pintu!!". Si isteri menurut saja tanpa membantah walaupun di dalam hatinya merasa amat sayu dan kasihan kepada pengemis itu.

Beberapa lama kemudian, perniagaan yang diusahakan oleh si suami telah jatuh merosot dengan teruk dan mereka kini hidup dalam keadaan yang miskin dan susah. Hidup mereka dikelilingi hutang dan oleh kerana selalu bertengkar, mereka pun berpisah.

Beberapa lama kemudian, si isteri ini berkahwin lagi dengan seorang saudagar. Pada suatu hari, ketika suami isteri ini sedang menikmati makanan, isterinya mendengar ada ketukan di pintu rumah mereka. Setelah pintu dibuka, ternyata tetamu yang tidak diundang itu ialah seorang pengemis yang meminta makanan.

Si isteri meminta izin kepada suaminya untuk memberi si pengemis itu makanan. Jawab suaminya, "Ya, berikanlah pengemis itu makanan, wahai isteriku". Ketika si isteri memberikan pengemis itu beberapa keping roti, alangkah terkejutnya dia bahawa si pengemis itu adalah bekas suaminya dahulu. Dia pun berlari masuk ke rumahnya sambil menangis terisak-isak. Dia pun menceritakan hal itu kepada suaminya.

Setelah mendengar cerita isterinya, si suami bertanya kepada isterinya, "Tahukah kamu siapa aku sebenarnya?". Isterinya menggelengkan kepala sambil tersedu-sedu. Sambung si suami, "Akulah pengemis yang dahulunya diusir oleh bekas suamimu".